Di samping 4 sandaran hukum ini, terdapat pula beberapa lagi sandaran yang dipegang oleh sebahagian ulama dan ditolak oleh sebahagian ulama yang lain. Antaranya Masalih Mursalah, Istihsan, Ishtishab, Syariat umat sebelumnya dan amalan sahabat. AL-QURAN Al-Quran merupakan Kalam Allah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sedikit demi sedikit dalam tempoh 22 tahun baginda menjadi Rasul bermula umur baginda 40 tahun hinggalah wafat ketika berumur 63 tahun. Ianya mempunyai 6666 ayat. Setiap kali turun ayat al-Quran baginda akan membacanya kepada para sahabat untuk dihafaz dan difahami isi kandungannya. Justeru itu, ramai kalangan sahabat yang menghafaz al-Quran di dada-dada mereka. Tidak ramai kalangan sahabat yang menulis ayat-ayat al-Quran kerana kebanyakan mereka tidak tahu menulis. Hanya segelintir sahaja yang pandai menulis, lalu dilantik oleh Baginda untuk menulis ayat-ayat al-Quran apabila turun. Justeru al-Quran dijaga dengan dua cara iaitu hafazan dan tulisan.
HADIS
Hadis ialah segala apa yang disandarkan kepada baginda samada perkataan, perbuatan, sifat atau persetujuan nabi dengan tindakan para sahabat dengan cara berdiam diri.Hadis Rasulullah merupakan tafsiran bagi isi kandungan al-Quran. Justeru itu untuk memahami al-Quran perlulah terlebih dahulu merujuk kepada Hadis Rasululullah. Kedudukan hadis Nabi sebagai penjelasan bagi al-Quran disebut oleh Allah dalam firmanNya: “Dan Kami turunkan ke atas kamu Peringatan (al-Quran) agar kamu menjelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka.” Penjelasan baginda selalunya berbentuk kaedah-kaedah yang umum, tetapi menyeluruh. Ia tidak memperincikan segala perlakuan manusia sepanjang zaman kerana perlakuan manusia sepanjang zaman tidak dapat dikira dan dihitung. Pada setiap zaman akan lahir perlakuan dan tindakan-tindakan baru bergantung kepada maju mundurnya sesuatu bangsa. Justeru dengan kaedah-kaedah umum tetapi menyeluruh yang disebut oleh baginda ia dapat dijadikan asas oleh umat terkemudian untuk menilai segala perbuatan-perbutan tersebut samada bertepatan atau bercanggah dengan kehendak Allah.Lantaran itulah lahirnya keperluan kepada ilmuan-ilmuan Islam untuk mentafsir dan menghurai kaedah-kaedah ini. Seterusnya menerapkannya ke atas kejadian-kejadiandan perlakuan-perlakuan baru yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda Boleh Komen Disini